UNTUK SIARAN SEGERA, KENYATAAN AKHBAR, 7 FEBRUARI 2018, 1

UNTUK SIARAN SEGERA
KENYATAAN AKHBAR
7 FEBRUARI 2018
1. Saya merujuk kepada laporan berita oleh beberapa saluran media berkaitan dengan ulasan yang dibuat oleh Pengarah Urusan rantaian runcit Mydin bahawa walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh, rakyat Malaysia tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan.
2. Menurut beliau, ini dibuktikan dengan penurunan jualan pasar raya besar yang berterusan.
3. Berdasarkan data yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bahagian jualan pasar raya besar kepada jualan runcit hanyalah 8%.
4. Dengan itu, jualan pasar raya besar tidak dapat dilihat sebagai satu-satunya penanda aras prestasi jualan runcit dan kepada keadaan ekonomi Malaysia dan rakyatnya.
5. Walaupun begitu, perdagangan runcit di Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan yang kukuh baik dari segi nilai dan jumlah. Dari segi nilai, perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan dua angka selama tiga suku berturut-turut pada 2017 dan dari segi jumlah, perdagangan runcit masing-masing meningkat sebanyak 7.8%, 11.5% dan 10.4% pada suku pertama, kedua dan ketiga untuk tahun 2017.
6. Perdagangan runcit dalam 11 bulan pertama tahun 2017 meningkat kepada RM410.5 bilion daripada RM367.7 bilion dalam tempoh yang sama untuk tahun 2016, iaitu pertumbuhan sebanyak 11.6%.
7. Bilangan kedai-kedai tanpa pengkhususan termasuklah pasar raya besar, meningkat daripada 66,920 buah (2016) kepada 73,848 buah (2017). Ini sahaja boleh menjadi salah satu sebab mengapa sesetengah pasar raya besar mengalami jualan yang perlahan kerana pengguna mempunyai lebih banyak pilihan untuk membeli-belah.
8. Berdasarkan Banci Ekonomi 2016 yang diterbitkan oleh DOSM, urus niaga perniagaan ke pengguna (B2C) e-Niaga dinilai pada RM73.7 bilion dan berkembang setiap tahun. Semakin ramai orang membeli produk termasuk barangan runcit asas di rumah mereka sendiri kerana membeli-belah menjadi lebih mudah untuk mereka melalui internet.
9. Beberapa pasar raya besar di Malaysia telah mula menawarkan pembelian barangan runcit dalam talian dan penghantaran kepada pelanggan mereka. Mereka yang masih belum menceburi “trend” ini akan kerugian keuntungan yang boleh didapati melalui senario membeli-belah dalam talian yang sedang berkembang maju.
10. Angka-angka lain menunjukkan bahawa rakyat Malaysia secara umumnya mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan.
11. Sebagai contoh, perbelanjaan pelancong domestik meningkat sebanyak 10.2% pada 2016 untuk mencatatkan RM74.8 bilion berbanding RM67.7 bilion pada tahun 2015. Membeli-belah terus menjadi komponen terbesar dalam perbelanjaan pelancong domestik dengan bahagiannya sebanyak 35.3%.
12. Pelancong Malaysia membelanjakan RM33.5 bilion ke luar negara pada tahun 2016, satu peningkatan daripada RM31.1 bilion pada tahun 2015 walaupun nilai Ringgit menyusut pada tempoh tersebut.
13. Semua angka ini sejajar dengan peningkatan pendapatan isi rumah bulanan median sebanyak 6.2% setahun dari RM4,585 pada 2014 kepada RM5,228 pada 2016 dan perbelanjaan isi rumah bulanan purata meningkat 5.9% setahun dari RM3,578 pada tahun 2014 kepada RM4,033 pada 2016 seperti yang dilaporkan dalam Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah oleh DOSM.
14. Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh jelas telah memberi manfaat kepada rakyat dari segi kenaikan pendapatan dan kuasa membeli yang seterusnya meningkatkan penggunaan swasta.
15. Penggunaan swasta terus menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dengan bahagian sumbangannya kepada KDNK negara berjumlah 53.2% atau RM589.7 bilion.
16. Prestasi dan keadaan ekonomi sesebuah negara dan rakyatnya tidak boleh diukur hanya dengan satu subsektor seperti industri pasar raya besar sahaja.
17. Walaupun KDNK mempunyai hadnya sendiri dan mungkin bukan petunjuk sempurna kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat, tetapi ia seolah-olah berkait rapat dengan ukuran kualitatif yang lebih meluas iaitu kemakmuran. Apabila KDNK berkembang, lebih banyak pekerjaan dicipta, pendapatan isi rumah meningkat dan orang ramai mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan.
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Unit Perancang Ekonomi
-Tamat-


Facebook: https://www.facebook.com/zack.abdullah

One Reply to “UNTUK SIARAN SEGERA, KENYATAAN AKHBAR, 7 FEBRUARI 2018, 1”

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *